Saturday, January 16, 2010

Sous Chef

Revolusi pengembangan dapur moden dikenalpasti bermula seawal abad ke 16 di Perancis . Bermula dari tarikh tersebut, tercetusnya sejarah chef profesional yang ratanya dikepalai oleh orang Perancis sendiri. Perkembangan ini adalah seiring dengan bermulanya pertumbuhan restoran moden pada awal abad ke 18. Dari sejarah inila bermulanya pengenalan beberapa pangkat atau jawatan di dalam dapur yang masih diguna pakai sehingga kini, seperti Sous Chef.

"Kulinari itu adalah seni. Bidang ini menjamin masa depan yang amat positif kepada seseorang individu itu. Bukan sahaja bidang ini menjanjikan insentif yang menarik, bahkan karier sebagai seorang Sous Chef membolehkan seseorang itu untuk mendapat kepuasan diri yang tinggi terutama bagi mereka yang mempunyai minat yang mendalam di dalam bidang masakan."

Showcase Satu Daerah Satu Industri

Mula diperkenalkan pada 2006, Showcase SDSI merupakan pameran tahunan terbesar yang menghimpunkan produk dan perkhidmatan SDSI dari seluruh Malaysia. Program ini dilaksanakan untuk memasar dan mempromosikan keluaran-keluaran SDSI diperingkat dalam negara serta global. Program ini dianjurkan selaras dengan tanggungjawab Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran dan Promosi SDSI di bawah Jawantankuasa SDSI Peringkat Kebangsaan yang diketuai oleh YAB Timbalan Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Salad Tempatan Bantu Awet Muda

JIKA selama ini ulam atau ‘salad’ hanya sinonim dengan masyarakat kampung, hari ini senario tersebut telah berubah kerana ulam kini telah menjadi santapan biasa bagi warga di bandar. Ia bukan lagi dianggap makanan kampung malah ulam kini semakin mendapat tempat di restoran-restoran mahupun hotel-hotel terkemuka.

Bagi sesetengah orang, makan nasi tanpa ulam ibarat minum teh tanpa gula. Pasti teh menjadi kelat dan hilanglah keinginan untuk menikmatinya. Begitulah kuatnya penangan ulam-ulaman dalam membantu menaikkan selera seseorang ketika menikmati makanan.

Jika hidangan Barat memerlukan salad bersama dressing sebagai pembuka selera, apa kurangnya ulam-ulaman tempatan yang enak dimakan bersama sambal belacan, cencaluk, budu, air asam, sambal tempoyak, sambal kicap dan pelbagai lagi jenis sambal. Selama ini masyarakat Barat bangga menjadikan salad sebagai pilihan menu diet mereka, jadi kita juga sepatutnya bangga memiliki khazanah semulajadi ini yang juga menyamai salad kerana ia dimakan secara langsung dan khasiatnya lebih asli.

Khasiat Ulam-ulam

Dahulu ulam mungkin hanya terkenal di kalangan masyarakat Melayu di kampung-kampung. Tetapi kini hidangan ulam-ulaman semakin digemari warga kota termasuk masyarakat bukan Melayu, malah turut menjadi antara hidangan wajib di hotel-hotel terkemuka. Mari kita kenali antara jenis-jenis ulam yang terkenal di Malaysia di samping khasiatnya yang tidak ternilai.


Khasiat ULAM RAJA:
Istimewanya ulam raja ini selain membersihkan darah dan
menguatkan tulang ialah ia sangat bagus untuk awet muda.
Khasiat KADUK:
Selain dijadikan pembuka selera, kaduk dapat menyihatkan badan dan menguatkan tulang. Ini adalah kerana kaduk mempunyai kandungan mineral dan kalsium yang tinggi.
Khasiat PUCUK BETIK:
Sangat baik dalam membantu melancarkan sistem penghadaman.

Temui banyak lagi khasiat ulam-ulam kita di dalam majalah The Cook.

Kerabu Sotong

Bahan-bahan:
Bahan A :
300gm sotong (potong cincin dan direbus)

Bahan B : dihiris nipis
1 ulas bawang besar merah
1 batang serai
5 biji cili api
2 biji cili merah

Bahan C :
5 urat kacang panjang
(dipotong dalam anggaran 1-2 cm)
1 biji tomato (dipotong kecil)
Segenggam daun ketumbar

Bahan D :
1 sudu besar sos ikan
1 biji limau nipis (diperah dan diambil jusnya)
Sedikit gula merah yang telah dicairkan
dengan air
Garam secukup rasa

Cara-cara :
1. Bahan A direbus dahulu hingga masak dan kemudian di Ketepikan.
2. Bancuhkan bahan D.
3. Setelah itu masukkan semua bahan A, bahan B, bahan C dan juga bahan D yang siap dibancuh ke dalam satu bekas. Gaulkan hingga rata.
4. Untuk menambahkan rasa masam atau manis bolehlah ditambah dengan air perahan limau nipis atau sedikit garam.

Kerabu

1. Cara mengurangkan rasa pedas kerabu
Untuk mengurangkan rasa pedas pada kerabu, masukkan beberapa potong tomato dan tumbuk bersama-sama. Ia tidak akan menjadi terlalu pedas malah anda tidak perlu lagi menambah banyak air untuk menjadikan kuantitinya lebih banyak

2. Mengurangkan rasa pahit pucuk mengkudu
Pucuk mengkudu memang pahit jika tidak disediakan dengan betul dalam hidangan kerabu. Untuk mengurangkan rasa pahit pucuk mengkudu, ia perlu dihiris halus sebelum direndam dalam air garam selama setengah jam. Kemudian diramas sedikit sehingga keluar air. Akhir sekali, toskan dan barulah boleh dibuat kerabu.

3. Agar kerabu lebih berkhasiat
Menggunakan minyak bijan dapat menambah khasiat kerabu di samping sayur-sayuran yang digunakan. Selain itu, madu dan kismis juga boleh ditambah ke dalam kerabu.

Indonesia dan Wilayah Sumatera

Indonesia merupakan sebuah negara republik di Asia Tenggara yang terdiri daripada 17, 508 pulau. Ibu negaranya adalah Jakarta. Populasi penduduknya pula adalah sebanyak 230 juta, dan ini mengiktiraf Indonesia sebagai negara keempat di dunia yang mempunyai penduduk paling ramai, dan ini menyumbang kepada populasi Muslim terbesar di dunia.

Diversiti makanan Indonesia sememangnya luas kerana wilayahnya adalah luas. Untuk memudahkan kefahaman, dipecahkan diversiti kepelbagaian makanan di Indonesia kepada empat wilayah yang utama, iaitu Sumatera Utara dan Acheh, Sumatera Barat, Jawa Tengah dan juga Jawa Barat, dan juga Bali.

Terimalah persembahan budaya makanan THE COOK pada isu kali ini, berkisarkan kepada Wilayah Sumatera, yang fokusnya adalah Aceh dan Sumatera Utara.