Sunday, March 14, 2010

Celoteh Editor - Sup & Bubur

Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah serta kurnia-Nya kita terus dapat berjalan di atas bumi-Nya ini.

Memasak merupakan sesuatu yang mudah. Memasak adalah ringkas. Sesiapa sahaja boleh memasak asalkan ada keinginan untuk memasak. Yang penting usaha, dan juga rajin. Seribu satu alasan seperti “saya tidak pandai”, “saya takut api”, “lecehlah memasak” dan yang paling biasa kita dengar “malaslah memasak” adalah antara batu penghalang bagi kita untuk belajar memasak.

Jadi, anda jangan malas sekiranya ingin belajar memasak. Memasak memerlukan usaha, serta kerajinan. Jadikanlah memasak sebagai perkara yang mudah. Paling penting, jadikanlah memasak sebagai perkara yang menyeronokkan serta menghiburkan.

Bergembira dan berseronok ketika memasak adalah kunci kepada ilmu memasak itu sendiri. Jika eksperimen masakan anda itu tidak berjaya, maka ketawakanlah kegagalan itu bersama rakan-rakan, serta keluarga anda. Jangan lupa belajarlah daripada kesilapan.
Seseorang pernah berkata kepada saya bahawa kesilapan itu bukan bererti bodoh. Akan tetapi kebodohan yang lebih parah adalah sekiranya anda tidak belajar dari kesilapan tersebut. Fikirkanlah.

Jadi, sekiranya anda ingin belajar memasak mulakanlah dengan sesuatu yang ringkas dan jadikan THE COOK sebagai panduan. Pada isu kali ini, kami menyajikan tema makanan yang ringkas akan tetapi amat bermakna dalam kehidupan seharian kita, iaitu Sup dan juga Bubur. Jadi, jangan lupa untuk mencuba resepi-resepi sup serta bubur yang kami sajikan pada kali ini. Tambahkan ilmu berkaitan masakan dan makanan bersama kami di THE COOK.

Salam Kulinari.

Papan Pemotong

Papan pemotong kini menjadi barang terpenting di dalam dapur kita. Selain daripada menjadi platform semasa penyediaan makanan sehinggalah digunakan untuk menyajikan sajian. Setiap dapur paling kurang mempunyai satu papan pemotong dan kebiasaan dapur kormesil mempunyai empat atau lima papan pemotong.

Dalam dunia kulinari,warna papan pemotong memainkan peranan penting seperti berikut :-

Warna putih –kegunaan potongan universal
Warna merah-kegunaan potongan daging dan ayam
Warna hijau- kegunaan potongan sayur-sayuran
Warna biru- kegunaan potongan ikan atau makanan laut.

Warna-warna berikut digunakan bagi mengelakkan papan pemotong tercemar atau merosakkan makanan lain.

Sumatera Barat (Minangkabau)

Masakan Padang merupakan masakan yang menjurus kepada masakan yang berasal dari Sumatera Barat dan bertitik tolak daripada orang-orang Minangkabau. Restoran berasaskan masakan Padang telah terkenal seantero dunia dengan rasa masakannya yang tersendiri. Masakan Padang secara amnya adalah pedas.
Kini, restoran-restoran Masakan Padang tumbuh bak cendawan selepas hujan. Sajian-sajian tradisi Padang seperti gulai gajebo, soto Padang, dan sambal balado, ayam gong Padang, dan juga gulai ikan dengan labu kuning boleh dinikmati pada bila-bila masa. Syaratnya, berkunjunglah ke restoran Masakan Padang yang terdekat dan nikmatilah keunikan, kepedasan serta rasa lemak masakan asli Padang.

Ragam Kedai Makan

Kini kewujudan kedai makan ibarat “cendawan tumbuh selepas hujan”. Hal ini jelas menyokong pendapat dan pandangan serta kajian yang mengatakan bahawa perniagaan berasaskan makanan merupakan antara perniagaan yang dijamin akan mendatangkan keuntungan.
Selain itu, tidak kurang juga hebatnya isu harga makanan terlalu mahal sehingga kadang kala betul-betul “cekik darah”. Namun, kebiasaannya pelanggan tidak akan komen apa-apa sekiranya harga yang mahal diiringi dengan makanan yang memuaskan, Walaupun kedai-kedai makan meletakkan harga yang luar biasa, pelanggan melihat itu dari sudut yang berbeza. Walau apapun, pengusaha patut juga ada kesedaran pada diri sendiri dengan menilai tahap makanan mereka. Adakah menu yang dihidangkan betul-betul menepati citarasa pelanggan atau istimewa untuk diraikan pelanggan? Sekiranya ya, percayalah bahawa pelanggan tidak akan kisah dengan harga yang ditawarkan selagi boleh diterima akal. Namun, jika sebaliknya pula pengusaha perlulah muhasabah diri sebelum menanti hari-hari kejatuhan perniagaan.

Tips Mengenai Bubur & Sup

Bubur Lebih Pekat
Gunakan sagu untuk memekatkan bubur. Masukkan sagu sebaik sahaja santan mula mendidih. Jangan lupa bilas dulu sagu dengan air bersih ya.

Bubur Kacang Lebih Enak
Sebelum merebus kacang, goreng dahulu tanpa minyak, sehingga agak garing dan berbau wangi. Selepas itu, rendam dalam air lebih kurang dua jam. Kemudian, barulah dimasak seperti biasa.


Membuang Lemak Pada Permukaan Sup
Ambil ketulan ais, dan bungkus dengan kain bersih. Letakkan kain pada lemak yang terkumpul. Insyaallah, lemak akan terlekat pada kain tersebut. Selamat mencuba!

Sup bebola ikan










Bahan-bahan:
Bahan A :
10 biji bebola ikan

Bahan B : dimesin
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
2 inci halia

Bahan C :
½ inci kulit kayu manis
6 biji bunga cengkih
2 biji bunga lawang
1 peket sup bunjut-ikan
Garam secukup rasa
Air rebusan tulang ikan

Cara-cara:
1. Tumis bahan B dan masukkan sup bunjut,
kayu manis, bunga cengkih & bunga
lawang.
2. Kemudian, masukkan air rebusan ikan dan
biar hingga mendidih.
3. Masukkan garam secukup rasa
4. Taburkan daun sup, daun bawang dan
bawang goreng semasa menghidang

(Dapatkan resepi bubur sum-sum, bubur pulut hitam, sup belut, sup cendawan dan lain-lain lagi di dalam Majalah The Cook Edisi Mac)

Kek Lapis Sarawak

Kek Lapis Sarawak sudah sinonim dengan hidangan di Hari Raya mahupun majlis-majlis keraian. Namun lokasi yang jauh dengan Semenanjung Malaysia, membuatkan ramai yanng sukar untuk menikmatinya.
Tetapi kini, segalanya menjadi mudah. Waheeda Cakes House mula beroperasi pada tahun 2008. Pengurusnya yang dikenali sebagai Wan, merupakan anak jati Sarawak yang berani mencuba pasaran di Semenanjung.
Setiap lapis kek ini juga mempunyai pelbagai rasa yang lazat. Antara perisa yang disediakan adalah Lapis Masam Manis, Lapis Betawi, Lapis Oren, Lapis Peppermint, Lapis Mami Jarum dan sebagainya. Semasa musim perayaan terutama Hari Raya, Waheeda Cakes House menerima tempahan hampir 10,000 biji kek lapis untuk dipasarkan ke seluruh semenanjung. Untuk tempahan atau maklumat lanjut, sila hubungi Wan di talian 0167005289 atau Rouzan di 0197155882. Untuk Lembah Kelang, hubungi Zira di talian 0192674140 @0192144140.